Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 1 Julai. - Bank Islam Brunei Darussalam Berhad (BIBD) hari ini meneruskan lagi inisiatif Projek Teduh dengan penyerahan sebuah rumah yang baharu siap dibina di Kampung Serdang, Mukim Kota Batu, Daerah Brunei dan Muara.
Pencapaian tersebut mencerminkan kesinambungan usaha BIBD dalam menyalurkan sokongan yang bermanfaat kepada masyarakat dan memperkukuhkan komitmennya untuk meningkatkan kesejahteraan keluarga-keluarga yang memerlukan melalui pembangunan sosial yang mampan.
Majlis penyerahan tersebut disempurnakan oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri merangkap selaku Pengerusi BIBD Group, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Rumah berkenaan telah diserahkan kepada penerima, Dayang Norfaezah binti Saidin.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah; ahli-ahli Lembaga Pengarah BIBD dan Badan Penasihat Syariah BIBD, pihak pengurusan serta kakitangan BIBD, juga wakil-wakil daripada agensi-agensi kerajaan dan organisasi-organisasi sektor swasta.
Inisiatif terbaharu ini mencerminkan dedikasi BIBD yang berterusan dalam menyokong keutamaan negara menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang berimpak dan mampan.
Projek Teduh kekal sebagai platform utama bank berkenaan dalam menyumbang ke arah meningkatkan taraf kehidupan serta memperkukuh daya tahan sosioekonomi masyarakat tempatan.
Kerja-kerja pembinaan semula rumah tersebut telah selesai pada 29 Jun 2026 hasil kerjasama pelbagai pihak berkepentingan.
Ia mencerminkan nilai kerjasama strategik dalam merealisasikan hasil yang mampan bagi masyarakat yang memerlukan.
Pelaksanaan Projek Teduh terus diperkasa menerusi kerjasama erat antara BIBD, agensi-agensi kerajaan, rakan-rakan korporat, syarikat-syarikat perniagaan serta para sukarelawan yang berkongsi aspirasi yang sama sama untuk memperkasa masyarakat melalui tindakan secara kolektif.
Inisiatif tersebut mencerminkan Pendekatan Seluruh Negara (Whole-of-Nation Approach) yang menekankan kepentingan kerjasama dan tanggungjawab bersama dalam menangani cabaran sosial serta kebajikan.
Projek Teduh dibiayai melalui zakat perniagaan BIBD selaras dengan komitmen bank tersebut dalam menyalurkan dana berkenaan ke arah mewujudkan impak sosial yang bermakna serta memperkasa kesejahteraan masyarakat.
Inisiatif ini turut disokong melalui sumbangan daripada warga BIBD, organisasi-organisasi korporat dan syarikat-syarikat perniagaan yang berkongsi hasrat untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat serta memajukan pembangunan sosial yang mampan.
Usaha kolektif ini memperkukuh semangat ihsan, kesukarelawanan dan perpaduan, di samping mencerminkan nilai-nilai Maqasid Syariah serta aspirasi BIBD sebagai Bruneian at Heart.
Menerusi Projek Teduh, BIBD bersama rakan-rakan strategiknya kekal komited dalam menyokong usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke arah memperkasa pembangunan masyarakat yang inklusif dan mampan.